RIBAT MUJAHIDIN DALAM JIHAD PRU KE 13
oleh Ust. Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri,
Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat sesi 2011-2012
Pendahuluan
Pilihanraya ke 13 yang bakal disertai oleh PAS merupakan salah satu kerja jihad semasa bagi gerakan Islam. Jihad ini menuntut pengorbanan dari para pejuang dari sudut harta, jiwa dan juga masa. Justeru, konsep Ribat fi Sabilillah (رباط) yang disebut di dalam al-Qur’an dan Hadis perlu diaplikasikan bagi memaksimakan penyertaan tenaga kerja pilihanraya seterusnya memaksimakan kemenangan Islam dalam memerintah Malaysia.
Konsep Ribat fi Sabilillah
Menurut pengarang kitab al-Muntaqa syarah Muwatta, Ribat pada asalnya bermaksud mengikat kuda untuk dimiliki. Seterusnya ia digunakan dengan maksud-maksud berikut:
Pertama: Mengikat Kuda Sebagai Persiapan Jihad Di Jalan Allah.
Menurut pengarang al-Muntaqa, maksud mengikat kuda di jalan Allah ialah mempersiapkannya untuk tujuan tersebut. Ia merupakan salah satu bentuk kebajikan yang mana pemilik kuda tersebut akan diberikan ganjaran walaupun dalam keadaan ia belum digunakan untuk jihad dan menyerang musuh kerana ia tergolong dalam sebahagian infaq di jalan Allah, sebagai persiapan jihad dan usaha untuk menggerunkan musuh (irhab).
Menyiapkan kuda ini berlaku samada di tempat tinggal orang yang menyediakannya atau di luar dari tempat tinggalnya Sekiranya ia digunakan untuk berperang ia mendapat pahala jihad.
Dalilnya ialah firman Allah Taala:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ [ الأنفال : 60 ].
Maksudnya: Dan persiapkanlah bagi menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu sama ada kekuatan dan juga kuda-kuda yang terikat, yang boleh kamu gunakannya untuk menggerunkan musuh Allah dan juga musuh kamu.”
Konsep Ribat ini termasuk dalam sebahagian infaq di jalan Allah. Konsep infaq pula dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firman-Nya:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ (البقرة: 261 )
Maksudnya: Bandingan mereka yang menginfaqkan harta-harta mereka di jalan Allah seperti bandingan sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya mengandungi 100 benih, dan Allah menggandakan untuk sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Luas lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Baqarah: 126)
Kedua: Ribat Mengikat Diri Untuk Berada Di Perbatasan
Ribat ini bermaksud mengikat diri untuk menjaga perbatasan dan sempadan Negara Islam. Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani, Ribat bermaksud melazimi tempat yang terletak antara orang Islam dan orang kafir untuk menjaga orang islam daripada musuh.
Ribat ini dirujuk oleh firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, bersabarlah kamu, sama-samalah bersabar (berhadapan dengan musuh), lakukanlah ribat dan bertaqwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan.
Kelebihan Ribat ini disebut dalam banyak hadis Nabi saw antaranya Hadis riwayat Imam Bukhari daripada Sahl bin Sa`ad al-Sa`idi r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا عَلَيْهَا
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan isinya.
Muslim meriwayatkan daripada Salman al-Farisi r.a katanya, saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَإِنْ مَاتَ جَرَى عَلَيْهِ عَمَلُهُ الَّذِي كَانَ يَعْمَلُهُ وَأُجْرِيَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ وَأَمِنَ الْفَتَّانَ
Maksudnya: Ribat sehari semalam lebih baik daripada berpuasa dan mengerjakan qiyam selama sebulan. Dan sekiranya dia mati akan berterusanlah amalan yang sebelumnya sentiasa dilakukannya. Rezkinya pula akan diteruskan dan terselamat daripada para penguji (kubur).
Dalam riwayat Tirmizi daripada Salman al-Farisi menyebut Rasulullah saw bersabda:
رِبَاطُ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ وَرُبَّمَا قَالَ خَيْرٌ مِنْ صِيَامِ شَهْرٍ وَقِيَامِهِ وَمَنْ مَاتَ فِيهِ وُقِيَ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَنُمِّيَ لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal –mungkin beliau berkata – lebih baik – berbanding puasa dan qiyam selama sebulan. Dan sesiapa yang mati dalam keadaan Ribat terselamat daripada ujian kubur dan dicambahkan untuknya amalannya sehingga ke hari Qiamat.
Nasaei pula meriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa Nabi saw bersabda:
إِنَّ رِبَاطَ يَوْمٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ يَوْمٍ مِمَّا سِوَاهُ فَلْيُرَابِطْ امْرُؤٌ حَيْثُ شَاءَ
Maksudnya: Sesungguhnya Ribat sehari di jalan Allah lebih afdhal daripada seribu hari selainnya. Maka hendaklah melakukan ribat seseorang itu di mana sahaja dia mahu.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Makhul r.a bahawa Nabi saw bersabda:
تمام الرباط أربعون يوما
Maksudnya: Kesempurnaan Ribat ialah 40 hari.
Ketiga : Ribat Dalam Ibadah
Ribat dalam ibadah disebut di dalam hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi saw bersabda:
أَلا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمْ الرِّبَاطُ
Maksudnya: Mahukah kamu saya tunjukkan perkara yang dipadamkan oleh Allah dengan sebabnya segala kesalahan dan diangkat oleh Allah dengan sebabnya beberapa darjat, iaitu menyempurnakan wudu’ di waktu sukar, membanyakkan langkahan ke masjid-masjid dan menanti solat seterusnya selepas mengerjakan solat. Semua itu adalah Ribat.
Menurut Ibn Kathir, Ribat atau Murabatah ialah berkekalan dan tetap berada di tempat ibadah. Sebahagian ulama seperti Mujahid, Ibn Abbas, Sahl bin Hunaif mentafsirkannya sebagai menanti waktu solat selepas dikerjakan satu solat di masjid.
Menurut Imam Nawawi, Ribat asalnya bermaksud menahan diri atas sesuatu. Seolah-olahnya dia menahan dirinya untuk melakukan ketaatan tersebut. Ada pandangan menyatakan ia merupakan sebaik-baik Ribat sepertimana dikatakan jihad itu ialah jihad menentang hawa nafsu.
Pilihanraya Sebagai Wasilah Menegakkan Khilafah
Melantik pemerintah Islam yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama adalah satu kewajipan yang telah disepakati oleh Sahabat Nabi saw dan para ulama. Dalilnya ialah ijma’ Sahabat melantik Khalifah selepas kewafatan Nabi saw.
Dalam konteks Malaysia, pilihanraya menjadi satu wadah yang dibenarkan menurut perundangan negara untuk memilih pemerintah. Pilihanraya akan menentukan sama ada pemerintah yang terpilih memerintah menurut al-Qur’an dan Hadis atau menurut hawa nafsu. Berasaskan kepada hakikat ini penglibatan gerakan Islam dalam pilihanraya merupakan satu keperluan semasa bagi memastikan negara diperintah menurut Islam. Penglibatan dalam pilihanraya merupakan satu jihad fi sabilillah.
Kaedah Fiqh menegaskan: sesuatu yang tidak sempurna kewajipan lain melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib. Dalam konteks semasa perundangan Malaysia harini menegakkan khilafah yang akan menegakkan agama dan mentadbir Negara dengan agama hanya boleh berlaku menerusi pilihanraya. Maka, penglibatan diri dalam pilihanraya adalah wajib.
Pilihanraya Wasilah Melaksanakan Jihad Menyatakan Kebenaran
Pilihanraya menjadi wasilah untuk menegur pemerintah yang khianat terhadap amanah kepimpinan dan melakukan kezaliman. Justeru, gerak kerja pilihanraya merupakan satu jihad fi sabilillah. Nabi saw bersabda:
أَلَا إِنَّ لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءً يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقَدْرِ غَدْرَتِهِ أَلَا وَأَكْبَرُ الْغَدْرِ غَدْرُ أَمِيرِ عَامَّةٍ أَلَا لَا يَمْنَعَنَّ رَجُلًا مَهَابَةُ النَّاسِ أَنْ يَتَكَلَّمَ بِالْحَقِّ إِذَا عَلِمَهُ أَلَا إِنَّ أَفْضَلَ الْجِهَادِ كَلِمَةُ حَقٍّ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ
Maksudnya: Ketahuilah sesungguhnya setiap pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat berdasarkan kadar pengkhianatannya. Ketahuilah sebesar-besar pengkhianatan ialah pengkhianatan pemerintah kepada orang awam. Ketahuilah janganlah kehebatan manusia menjadi penghalang bagi seorang lelaki memperkatakan kebenaran apabila dia mengetahuinya. Ketahuilah sesungguhnya sebaik-baik jihad ialah kalimah yang benar di sisi pemerintah yang zalim.
Ribat Dalam Gerakkerja Pilihanraya
Ketiga-tiga konsep Ribat di atas perlu dijelmakan dalam kerja-kerja Jihad melibatkan pilihanraya. Justeru Ribat dalam gerakkerja pilihanraya bermaksud
1. Menyediakan kelengkapan kerja-kerja pilihanraya melibatkan harta.
2. Mengikat diri untuk berada di medan pilihanraya sepenuhnya sekiranya mampu sepanjang tempoh kempen pilihanraya ke 13
3. Menyiapkan gerak kerja yang boleh menggerunkan musuh
4. Menjaga ibadah utama sepanjang tempoh kempen pilihanraya dengan menyempurnakan wudu’, bergerak ke markaz-markaz untuk mengerjakan solat berjamaah di markaz-markaz pilihanraya sepanjang tempoh kempen pilihanraya
Sirah Sahabat Dalam Ribat Harta
Sirah para sahabat menunjukkan kepada kita kesungguhan sahabat menyediakan kelengkapan perang yang melibatkan harta antaranya. Ketika berlangsungnya peperangan Tabuk, Othman yang sudah bersiap dengan kelengkapan unta dan barang dagangan telah mendermakan semua unta berjumlah beserta dengan muatan yang berada di atas untuk persiapan perang
Menurut hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi daripada Abd Rahman bin Hubab al-Sullami bahawa Uthman telaah menyediakan 300 ekor unta. Menurut riwayat Abd Rahman bin Samurah, Uthman telah menyediakan 1000 dinar . Riwayat yang lemah pula oleh Ibn `Adii daripada Huzaifah menyebut 10,000 dinar. Menurut Ibn Hajar barangkali ia bermaksud 10,000 dirham yang nilainya menyamai 1000 dinar ketika itu.
Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham. Umar pula memberikan separuh harta. Abd Rahman menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham. Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma; separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.
Penutup
Penjelmaan konsep Ribat dalam pilihanraya ke 13 oleh para alim ulama merupakan saham besar kepada kemenangan PAS dalam pilihanraya ke 13 insyallah. Para ulama boleh melaksanakan ketiga-tiga jenis Ribat yang telah dijelaskan. Saham utama mereka ketika Ribat ialah masa yang diperuntukkan untuk membuat penjelasan-penjelasan ilmu kepada orang-orang jahil, harta benda yang boleh disumbangkan dan ketulusan ibadah mereka sepanjang pilihanraya untuk menggamit kemenangan dikurniakan oleh Allah.
Ramai dikalangan sahabat saya dalam PAS beranggapan bahawa medan peperangan boleh diqiyas menjadi medan perjuangan ketika musim pilihanraya. Dua hal yang diqiyaskan inilah sebenarnya menjadi punca huru-hara dunia. Siapa yang bertanggungjawab? Ya, jawapannya adalah ulamak-ulamak jahat yang sengaja mengelirukan untuk tujuan menyesatkan umat dari Islam. Pengikut-pengikut PAS yang beranggapan demikian, apa lagi.. mengerahkan segenap tenaga, masa dan wang ringgit demi kerana 'jihad' dan menanam cita-cita untuk syahid dimusim pilihanraya.
ReplyDeleteMasyallah! Apa dah jadi ni? Dua-dua hal tersebut adalah sangat berbeza dan tak mungkin akal yang waras bersetuju untuk menganalogikannya. Kedua-duanya mendukung maksud yang sangat berbeza, kesannya pun berbeza, hukumnya pun berbeza apatah lagi aktivitinya sangat-sangat berbeza antara sesamanya. Tapi, itulah sindrom fanatisme! Bila dah taksub atau fanatik, habis otak dan akal tertutup. Yang benar itu adalah tok guru, Al-Quran dan Sunnah pun dah jadi lain.. tok guru atau ulamak tu je lah yang betul benar.
Allah Maha Kuasa, ketika musim pilhanraya kali ke-11 (sekitar tahun 2004), berlaku insiden kemalangan ketika penyokong PAS sibuk menggantung bendera dan poster. Mangsa meninggal ditempat kejadian. Bila jenazah diuruskan, timbul perbalahan antara sesama mereka. Ada yang kata wajib dimandikan seperti biasa. Ada yang kata, "Tok guru kata dia mati syahid, tak payah bagi mandi. Solat jenazah pastu kebumikan je.."
Haha.. ada dua kemungkinan insiden sebegini berlaku;
1. Tok guru belum sempat perturun ilmu urus jenazah mati ketika musim pilihanraya
2. Mereka khilaf tak sempat ijtihad untuk tarik satu hukum tentang jenazah mati akibat gantung bendera dan poster PAS
Inilah senario yang kalian bisa temui..