SELAMAT DATANG KE BLOG URUSAN ULAMAK PAS KAWASAN TEMERLOH

BLOG YANG MENGHIDANGKAN ARTIKAL AGAMA,ISU - ISU SEMASA DAN KEGIATAN URUSAN ULAMAK

Monday, October 25, 2010

Kuliah 4 : TAAT KEPADA ALLAH DAN RASUL .

(a)Firman Allah Taala dalam surah An Nisaa' ayat 13 yang bermksud:

" Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya , akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar."

(b) Firman Allah Taala dalam surah An Nisaa' ayat 69 yang bermksud:

"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga ) bersama -sama orang - orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka , iaitu Nabi - Nabi dan orang - orang Siddiqiin, dan orang -orang syahid, serta orang -orang yang salih.Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang - orang yang taat).

(c) Firman Allah Taala dalam surah Al Fath ayat 17 yang bermksud:

"Dan (ingatlah ) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai , dan barang siapa yang berpaling ingkar, akan diseksaNya dengan azab yang tidak terperi sakitnya ."

Dalam ketiga ayat di atas Allah SWT memberitahu tentang balasan yang akan diterima oleh orang -orang yang taat kepada Allah dan RasulNya ,kerana itu Allah memerintakan umat Islam sentiasa taat kepada Allah dan RasulNya seperti FirmanNya di dalam Surah Al Hasyr ayat 7 yang bermksud:

"Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya,maka patuhlah laranganNya . Dan bertaqwalah kamu kepada Allah ,sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya ( bagi orang -orang yang melanggar perintahNya).

Allah telah menjadikan ketaatan kepada Rasulullah SAW sebagai bukti ketaatan kepadaNya.sebab Rasulullah adalah menyampai ajaran Allah seperti Firman dalam surah An Nisaa' ayat 80 yang bermksud:

"Sesiapa yang taat kepada Rasulullah , maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah , dan sesiapa yang berpaling ingkar,maka maka (janganlah berdukacita wahai Muhammad),kerana kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal( yang memilihara mereka dari melakukan kesalahan ).

Al Quran tidak hanya memerintahkan kita agar mentaati Allah dan RasulNya ,tetapi juga ulil amri ( pemimpin) selama mereka mentaati Allah dan RasulNya.Perhatikan ayat 59 surah An Nisaa' yang bermksud:

"Wahai orang - orang yang beriman ! taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil -Amri ( orang -orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.Kemudian jika kamu berbantah - bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara , maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al Quran ) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya .

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan orang Islam supaya mentaati Allah dengan cara mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan,kemudian diperintahkan pula mentaati rasulNya dan seterusnya diperintahkan mentaati pemerintah Islam selama ia masih mentaati Allah , dan berjalan di atas dasar Islam dan tidak menyuruh berbuat maksiat Sabda Rasulullah SAW yang bermksud:

"Tidak wajib taat kepada mahluk (pemerintah) di dalam perkara maksiat terhadap Allah ".

Ulil Amri ialah ahli -ahli ilmu (cerdik pandai ) dan pemikir -pemikir agama (Islam ) yang menguruskan urusan manusia .

Oleh itu sebagai ulil Amri hendaklah dipimpin oleh iman ,ilmu dan amal ,dengan adanya ketiga faktor di atas menjadikan seorang ulil Amri yang baik dan wajib ditaati. Penderhakaan kepada ulil Amri adalah dilarang ,kerana Islam amat menjaga perpaduan, seseorang itu keluar dari jemaah Islam kalaulah ia melakukan penderhakaan terhadap ulil Amri. Sebagaimana hadis nabi yang bermaksud :"Barang siapa yang mendapati ada sesuatu yang dibencinya pada pemimpinnya maka hendaklah ia bersabar kerana sesiapa yang keluar dari jemaah (Islam) walaupun sejengkal lalu ia mati, maka mati dalam jahiliyah ."

MAJLIS KONVOKESYEN KE -12 KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH

PADA 11 ZULKAEDAH 1413H BERSAMAAN 19 OKTOBER 2010 , MAJLIS KONVOKESYEN KE -12 KOLEJ UNIVERSITI INSANIAH KEDAH DI DEWAN SULTAN ABDUL HALIM MU’AZAM SHAH . SAYA TELAH MENYAKSIKAN MAJLIS TERSEBUT , KERANA ANAK SAYA ZULMAJDI BIN ZAKARIA TELAH MENERIMA IJAZAH SARJANA MUDA SYARIAH (KEPUJIAN) .SAYA BERSYUKUR KEPADA ALLAH DI ATAS KEJAYAAN ANAK SAYA ITU , MOGA –MOGA DIA DAPAT MENGEMBANGKAN ILMUNYA BERSAMA PARA DAKWAH LAIN.




Zulmajdi

Monday, October 11, 2010

kuliah 3.ISTIQAMAH DI DALAM BERAMAL

Istiqamah ialah : Mejalani jalan yang lurus ( As- siratul almustaqim ) Jalan agama yang lurus tanpa sebarang liku -likunya .ia meliputi segala perbuatan taat yang zahir dan yang batin ,juga meninggalkan segala larangan,ini semua erti istiqamah ,ia itu kelurusan yang tetap di dalam melaksanakan amal.
Firman Allah Taala dalam surah Fussilat ayat 30 - 32 yang bermksud:
30."Sesungguhnya orang -orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: " Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul,akan turunlah malaikat kepada mereka dari masa ke semasa (dengan memberi ilham) : " Jangan kamu bimbang ( dari belakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu ) dan janganlah kamu berdukacita,dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu .
31." Kamilah penolong - penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita -cita mendapatnya ."
32."(pemberian -pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengammpun, lagi Maha Mengasihani !".

Di dalam ayat di atas menyatakan kepada kita mereka yang mengatakan " Rabb kami adalah Allah " bermaksud mengaku Allah dalam bentuk Rubbubiyah dan wahdiniyyat (keasaan) .,kemudian mereka beristiqamah , iaitu mereka teguh pendirian, lahir dan batin dengan cara mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan sehingga mati. Malaikat akan turun kepada mereka iaitu malaikat Rahmat akan turun ketika kematian atau ketika bangkit dari kubur,yang mana malaikat ini sebagai penghibur dengan berkata " Janganlah kamu takut " yakni jangan takut mati dan perkara-perkara yang berlaku selepas mati " jangan bersedih hati " tidak perlu bimbang terhadap kaum keluarga yang ditinggalkan kerana malaikat adalah sebagai pengganti ," Bergembiralah dengan syurga " oleh itu hendak bergembira kerana mendapat balasan syurga yang penoh nikmat dan bahagia yang abadi ,yang tidak pernah dilihat oeh mata , dan di dengar oleh telinga dan tidak terlintas di hati." yang telah dijanjikan kepada kamu " yang mana telah disebut di dalam Al Quran . "Kamilah penolong - penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat "
Para Malaikat akan melindungi orang yang istiqamah waktu di dunia dan mereka akan bersama menyertainya hingga masuk syurga .

Di dalam surah Al Ahqaaf ayat 13 - 14 adalah sama dengan ayat -ayat di atas .

" Sesungguhnya orang -orang yang mengatakan Rabb kami ialah Allah kemudian mereka tetap istiqamah,maka tiada ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula ) berdukacita .Mereka itulah penghuni -penghuni syurga ,mereka kekal di dalamnya ,sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan ."

Dari kedua ayat di atas (ayat 30 -32 surah fussilat dan ayat 13 -14 Surah Al Ahqaaf ) dapat diketahui bahawa Allah SWT menjelaskan kepada kita tentang pentingnya istiqamah dan juga hasil dari istiqamah itu yang dibuktikan dalam bentuk ucapan dan perbuatan .Di dalam ayat lain Allah berfirman di dalam Surah Hud ayat 112 yang menyuruh kita melakukan istiqamah :
" Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar ,sebagaimana diperintahkan kepada kamu dan (juga ) orang yang telah taubat berserta kamu dan janganlah kamu melampui batas.sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan ".

Pentingnya istiqamah dijelaskan oleh beberapa hadis di antaranya sabda rasulullah SAW yang bermksud: " Dari Abi Amru dan ada dikatakan pula dari Abi Amrah Sufian bin Abdullah Radiayallah anhu katanya :,kataku,Ya! Rasulullah ! katakanlah kepada aku tentang Islam satu perkataan yang tidak aku tanyakan lagi daripadanya akan seseorang yang lain daripada engkau.Sabdanya : Katakanlah "Aku beriman kepada Allah , kemudian hendaklah engkau beristiqamah ..( Riwayat Muslim )

Istiqamah yang dikehendaki Rasulullah pada hadis di atas ialah ketekunan dan keteguhan dalam iman menuruti tuntunannya,pengertian dan hakikatnya pada bila -bila masa.tetapi istiqamah itu tidak mungkin ujud pada seseorang kalau hatinya belum dapat dibersihkan dari unsur -unsur yang menudainya atau yang mengganggu tauhidnya.sehingga ia menjadi mukmin yang setia .Sebab istiqamah walaupun kesannya dapat dilihat pada amal,tetapi sumbernya adalah dari kelurusan hati di atas tauhid yang berpandukan kepada ayat :

."Sesungguhnya orang -orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: " Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul”
Inilah yang ditafsirkan oleh Saidina Abu Bakar As siddik Radiayallah anhu kerana mereka yang telah beristiqamah yang lurus pada jalan tauhid yang kekal menurut falasafahnya tidak lagi mahu berpaling kepada yang lainnya.Hati yang telah tegak dan lurus atas dasar ma'rifat Allah, memulia dan menyanjung tinggi kehibatanNya dan kebesaranNya .Mempengaruhi segala anggota untuk memberikan sepenuh ketaatannya kepada Allah,hati adalah raja,kalau ia betul maka betul segala anggota yang lain,bila hati telah istiqamah maka istiqamah anggota yang lain

Sunday, October 10, 2010

Kuliah 2: IHSAN

Ihsan ertinya kebaikan,kemuruhan,kedermawan dan sebagainya. Allah berfirman didalam ayat 90 Surah Al Nahl yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan"

Di dalam pangkal ayat 90 surah Al Nahl Allah memerintahkan kita umat Islam berlaku adil dan berbuat kebaikan,oleh itu berbuat kebaikan itu suatu kewajipan yang perlu dilakukan oleh Umat islam seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat kebaikan atas tiap-tiap sesuatu "

Hadis ini bermaksud bahawa umat Islam dikehedaki melakukan kebaikan pada setiap pekerjaan yang mereka lakukan.Melakukan kebaikan sesama insan adalah amat dituntut demi untuk mencapai kemajuan dan kejayaan hidup di dunia ini . Dengan hal yang demikain apa jua perkerjaan dan amal perbuatan yang umat Islam lakukan hendaklah dibuat dengan sebaik-baik nya ,dengan rapi dan sempurna samada berhubung dengan dunia ,apalagi yang berhubung dengan akhirat untuk mendapat rahmat Allah .

1.1 Ihsan hendaklah dilakukan terhadap:
a) Allah
b) Makhluk Allah.

a)Ihsan terhadap Allah :

Manusia sebagai hamba Allah adalah amat perlu berbuat ihsan terhadap Allah , kerana Allah menjadikannya.Ihsan terhadap Allah adalah menyerah diri terhadapNya,terdapat banyak ayat -ayat Al Quran yang menyuruh manusia supaya berbuat demikian:

1) Firman Allah Taala Surah Al Baqrah ayat 112 yang bermaksud:

"(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi TuhanNya,dan tidak ada kebimbangan(dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak aka berdukacita “.
Penjelasan :

Allah memberi jaminan bahawa orang Islam yang tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan rasulNya akan diberi pahala. Disamping itu jiwanya tenang di dalam menghadapi sesuatu musibah .

2) Firman Allah Taala Surah An nisa' ayat 125 yang bermaksud:

"Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas),sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut Agama Nabi Ibrahim yang lurus ( yang tetap di atas dasar tauhid ); dan (kerana itulah ) Allah menjadikan Nabi Ibrahim KesayanganNya .”

Di dalam agama Islam menjunjung perintah Allah dengan ikhlas adalah sebaik -baik perbuatan , dan orang Islam yang sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu amalan baik adalah disanjung oleh Allah . Akidah adalah perkara yang amat penting bagi mengukur setakat mana keimanan dan kepatuhan seseorang itu kepada Allah .

3) Firman Allah Taala Surah Luqman ayat 22 yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang berserah diri bulat - bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha megerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama ) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan ."

Ayat ini menerangkan orang yang berserah diri bulat -bulat kepada Allah Taala dengan ikhlas dan tenang tenteram hatinya kepada apa yang telah ditakdirkan baginya ,sesudah ia berusaha dengan bersungguh - sungguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya maka bermakna ia telah berpegang kepada simpulan tali penyelamat yang teguh kukuh , iaitulah agama Allah yang meliputi iman , Islam dan ihsan,yang menghubungkanya dengan Allah 'Azza wa Jalla.

Ihsan kepada Allah ialah engkau menyembah Allah seolah -olah engkau melihat akan dia,jika engkau tidak melihat akan dia ,maka sesungguhnya Ia melihat engkau seperti hadis nabi SAW yang bermaksud:

"Khabarkanlah kepada aku darihal Ihsan ? Rasulullah SAW menjawab : " Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah - olah engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya,maka sesungguhnya Ia melihat engkau"
c) Ihsan terhadap makhluk Allah :
Umat Islam digalakkan membuat ihsan (kebaikan terhadap sesama makhluk Allah seperti sesama insan dan makhluk Allah yang lain, di antaranya disuruh berbuat baik terhadap kedua ibu bapa seperti Firman Allah Taala di dalam Surah Al Baqarah Ayat 83 yang bermksud:
" dan berbuat baiklah kepada dua ibubapa "
Dan dengan hamba-hamba Allah yang lain seperti di dalam Firman Allah Taala Surah Al Qasas ayat 77 yang bermaksud:
"Berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian nikmatNya yang melimpah - limpah )

1.2.Ciri - ciri orang berbuat ihsan ( Muhsinin )

1.2.1.Beriman dengan Allah .
Firman Allah Taala di dalam surah Al Baqarah ayat 177 yang bermaksud:

"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat , dan segala malaikat dan segala kitab dan sekalian Nabi, dan mendermanya seseorang akan hartanya - sedang ia menyayanginya - kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang - orang miskin , dan orang - orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang - orang yang meminta , dan untuk memerdekakan hamba - hamba abdi, dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat , dan perbuatan orang - orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan ketabahan orang - orang sabar dalam masa kesempitan , dan dalam masa kesakitan , dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang sabil, (Orang - orang yang demikian sifatnya ), mereka itulah orang - orang yang benar ( beriman dan mengerjakan kebajikan), dan mereka itulah juga orang - orang yang bertaqwa."

Menghadap muka ke arah timur atau barat belum di namakan kebaikan yang boleh dinilai oleh Allh .Kebaikan yang sebenar ialah dengan melakukan perkara - perkara berikut :
(I)Beriman kepada Allah,Hari Akhirat,Malaikat,Para Anbia' dan Kitab-kitabNya .
(ii)Memberi harta yang disayangi kepada kaum kerabat,anak - anak yatim,fakir miskin,orang-orang terlantar di dalam perjalanan,dan orang yang berhajat kepada bantuan.
(iii) membebaskan hamba abdi.
(iv)Mendirikan sembahyang.
(v)Mengeluarkan zakat
(vi)Menunaikan janji
(vii)Sabar di masa menghadapi kesempitan dan penderitaan
(viii)Sabar di masa peperangan.
Orang - orang mempunyai ciri- ciri tersebut di atas bukan sahaja di nilai melakukan kebaikan bahkan mereka dinobatkab sebagai orang -orang yang benar berbut kebaikan dan benar -benar bertaqwa.

Kenapakah Allah menilai sebagai kebaikan beriman kepada Allah,Hari Akhirat,Malaikat,Para Anbia', dan Kitab-kitabNya? .

Keimanan kepada Allah merupakan titik perubahan di dalam kehidupan manusia dari perhambaan kepada berbagai -bagai kuasa ,berbagai -bagai benda dan berbagai -bagai perhitungan kepada perhambaan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja,dimana jiwa manusia bebas dari perhambaan lain dan dengan perhambaan kepada Allah inilah jiwa manusia ke taraf persamaan dengan seluruh jiwa yang lain dan berdiri sejajar dalam satu barisan di hadapan ma'bud yang tunggal dan seterusnya dengan perhambaan kepada Allah itulah jiwa manusia meningkat mengatasi segala sesuatu dan segala perhitungan . Ia juga merupakan titik perubahan dari keadaan kelam-kabut kepada keadaan yang berperaturan ,dari kedaan berpecahbelah kepada keadaan yang sama.Umat yang hidup tanpa iman kepada Allah tidak ada misi dan vision di dalam hidup mereka.

Keimanan kepada Hari Akhirat merupakan keimanan
Kepada keadilan Ilahi yang mutlak dalam bidang pembalasan,juga merupakan keimanan bahawa hidup manusia di dunia ini bukannya sia-sia dan kacau bilau tanpa ukuran dan pertimbangan dan sesuatu amalan baik akan menerima balasannya ,walaupan di dunia ia tidak menerima apa -apa balasan.

Keimanan kepada Malaikat merupakan sebahagian dari keimanan kepada alam ghaib yang menjadi persimpangan jalan memisahkan di antara daya pemikiran dan kefahaman manusia dengan daya kefahaman haiwan mengenai kewujudannya,manusia boleh beriman di sebalik pancaindera sedangkan haiwan hanya terikat dengan pancaindera tanpa boleh meliwatinya.

Keimanan kepada kitab-kitab suci dan para Anbia' merupakan keimanan kepada semua risalah dan kepada sekalian Rasul ,iaitu keimanan kepada kesatuan dan persamaan umat manusia dari segi tuhan,agama dan sistem hidup .

Kenapakah menderma harta disayangi kepada kaum kerabat,anak -anak yatim ,orang-orang miskin.musafir yang terlantar.dan orang yang meminta bantuan dinilai sebagai kebaikan ? .
Mendermakan harta yang disayangi merupakan satu pembebasan jiwa dari sifat haloba,kedekut dan mementingkan diri sendiri.Kaum kerabat merupakan inti pertama dalam masyarakat, dengan menderma kepada mereka dapat menengakkan kehormatan diri ,kehormatan keluarga dan mengukuhkan pertalian keluarga.
Mendermakan harta kepada anak -anak yatim adalah merupakan pampasan kepada anak - anak yang kehilangan dua ibubapa mereka.merupakan satu perlindunagan bagi kanak -kanak tersebut dari hidup terbiar.
Mendermakan harta kepada orang miskin ( berdiam diri dan tidak mengemis) adalah menimbulkan perasaan di dalam hati mereka bahawa ada semangat takaful dan semangat membantu .
Memberi bantuan kepada musafir yang kesempitan harta benda dan keluraga merupakan satu bantuan yang amat besar nilainya dan sedarlah kita bahawa semangat ikhwah itu berada di mana -mana sahaja ,
Menghulurkan bantuan kepada peminta-peminta bantuan adalah sebagai menghalang ia dari mengemis yang dibenci oleh Islam .
Membebaskan Hamba abdi adalah satu pertolongan yang amat besar , kerana Islam suka kepada kemerdekaan .
Sembahyang pula dinilai sebagai kebaikan adalah kerana sembahyang itu merupakan satu amalan yang seseorang itu bertawajjuh atau menumpukan keselurhan dirinya kepada Allah zahir dan batin .Ibadat salat adalah merupakan kegiatan tiga serangkai badan,akal dan roh yang membentuk badan yang sihat , akal yang waras dan jiwa yang tenang kerana wujudnya pergerakan ,bacaan dan renungan di dalam solat itu .

Membayar zakat merupakan satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap hartawan yang cukup syarat -syaratnya demi untuk menjaga kesejahteraan masyarakat.

Menyempurnakan janji adalah sifat mahmudah yang amat ditekankan di dalam Islam ianya disebut begitu kerap di dalam Al Quran ,ia merupakan tanda keimanan,kemanusiaan dan ihsan.Satu keperluan untuk mewujudkan suasana kepercayaan dan kententeraman di dalam hubungan antara individu,masyarakat dan antara bangsa.

Sabar dalam menghadapi kesempitan dan penderitaan dan juga sabar di dalam peperangan .Sifat sabar merupakan satu sifat yang mendidik ,mengasuh dan menyediakan jiwa manusia supaya tidak hancur dan putus asa di kala ditimpa malapertaka,sehingga adanya sifat itu berundarlah kesusuhan dan digantikan Allah dengan kesenangan.Sifat sabar di dalam menghadapi penderitaan dan di masa peperangan dalam ayat ini merupakan darjat yang paling tinggi di kalangan mereka yang di sebut di dalam ayat tersebut di atas ,

Mereka yang mempunyai sifat -sifat yang terkandung di dalam ayat adalah di namakan orang - orang yang benar - benar menunjukan sifat keislaman kepada Allah : Benar -benar berbuat kebaikan dan bertaqwa kepada Allah .

1.2.2. Menifaqkan harta ,tahan marah dan pemaaf.
Firman Allah Taala di dalam Surah Ali Imran ayat 134 yang bermaksud:
"Iaitu orang - orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,orang -orang yang menahan kemarahannya,dan orang -orang yang memaafkan kesalahan orang . Dan (ingatlah ) Allah mengasihi orang -orang yang berbuat perkara - perkara yang baik."

Ayat 134 suarah Ali Imran ini menerangkan kapda kita bahawa mereka yang kaya dan yang miskin sama - sama menghulurkan derma yang kaya dengan harta bendanya dan yang miskin mungkin tenaga dan ilmu pengetahuan . Di sini tidak ada semangat meminta - minta .Di samping itu sifat boleh menahan marah di atas kesilpan atau lain -lain perkara yang tidak menyenangkan perasaan adalah sifat yang mulia. memaafkan kepada mereka yang melakukan kesalahan terhadapnya adalah dipuji oleh Allah walaupun begitu sifat ini tidak seharusnya menjadi tanda kelemahan umat Islam sehingga memaafkan semua perbuatan mereka yang zalim..Tahap kemaafan serta menahan marah itu ada batasnya berdasarkan syariat Islam yang tidak boleh dilampaui.Selepas itu berbuat baik sesama manusia,maka ini adalah merupakan tingkat taqwa yang dilalui oleh seorang muslim yang berjiwa Islam .

1.2.3.Bertaqwa
Firman Allah Taala di dalam surah al Maidah ayat 93 yang bermaksud :

"Tidak ada dosa bagi orang -orang yang beriman serta mengerjakan amal yang salih pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan amal yang salih , kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan ,kerana Allah mengasihi orang -orang yang berusaha memperbaiki amalannya ,"

Orang Islam adalah tidak berdosa apa -apa mereka makan /minum sebelum pengharaman sesuatu makanan atau minuman, tetapi mereka itu beriman dan bertaqwa dengan menjaga segala perintah dan larangan Allah,kemudian mereka bertambah iman dan taqwa selepas turun ayat pengharaman makanan/minuman ,keimanan dan ketawqaan mereka semakin bertambah dengan cara menjauhi syubhat . dan juga memperbaiki diri mereka dengan melakukan ihsan,menambahkan mutu iman dan taqwa .
1.2.4.Tidak Melakukan kerosakkan di bumi .
Firman Allah taala di dalam Surah Al A'raaf ayat 56 yang ber maksud:

"Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang ( kalau - kalau tidak diterima ) dan juga dengan perasaan terharap -terharap (supaya makbul ).Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang -orang yang memberbaiki amalannya .
Sebelum Nabi Muhammad SAW diutuskan menjadi rasul bumi ini di anggap rusak, setelah diutuskannya maka bumi ini telah dipebaiki, maka Allah melarang melakukan kerosakkan dibumi Allah ini kerana ia merupa bumi yang telah diislahkan,menjadi dosa besar melakukan keroskkan terhadapnya ,Allah memerintahkan kepada umat islam supaya berdoa dengan keadaan takut kalau -kalau amalannya tidak diterima Allah dan penoh pengharapan supaya diteima dan diberi ganjaran yang baik,orang -orang yang melakukan ihsan itu telah dijanjikan dengan mendapat rahmat dariNya.
1.2.5.Bersabar.
Firman Allah Taala di dalam Surah Hud ayat 115 yang bermaksud:

“ Dan sabar ( Wahai Muhammad ,engkau dan umatmu,dalam mengerjakan suruhan Allah),kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang - orang yang berbuat kebaikan . "
Sabar merupakan kunci kepada segala perjuangan dan pelaksanaan perintah Allah,ia merupakan satu sikap yang lahir dari jiwa dan memerlukan kepada latihan.Sabar terbahagi kepada tiga : Sabar mengerjakan ketaatan kepada Allah,sabar meninggalkan maksiat dan sabar di dalam menghadapi bala.Di dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan umat islam bersabar di dalam mengerjakan perintahNya , dengan cara mengerjakan perintah tersebut dengan cara berterusan,ikhlas dan mengerjakan dengan menurut syarat dan rukun yang telah ditentukan oleh syarak.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :sabar itu sebahagiandaripada iman.
Di samping sabar dalam melaksanakan perintah Allah,umat islam seharusnya meninggalkan sifat -sifat yang tidak menunjukkan kesabaran seperti gopoh-gapah,lekas marah,mudah mengalah dan putus asa.sifat -sifat negatif ini harus digantikan dengan sifat sabar yang boleh diterapkan sebagai tenang apabila menghadapi tekanan atau masalah rumit ,tidak mudah mengalah ,tabah dan cekal ,mementingkan hasilnya .tidak mudah gelisah dan dukacita.Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang sabar dan tidak akan menghilangkan pahala orang-orang berbuat kebaikan .

1.2.6.Berilmu :
Firman Allah Taala di dalam surah Yusof ayat 22 yang bermaksud:

" Dan ketika Yusuf sampai keperingkat umurnya yang sempurna kekuatannya Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan , dan demikianlah kami membalas orang -orang yang berusaha memperbaiki amalannya "

Orang yang berilmu dapat memperbaiki dirinya, dan dapat menguruskan sesuatu dengan baik, dapat sanjungan Allah dan diberi balasan yang baik .


1.2.7.Berjihad :
Firman Allah Taala di dalam Surah Al Ankabut ayat 69 bermaksud: :

." Dan orang - orang yang beusaha dengan bersungguh -sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami,seungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan - jalan kami ( yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya ( pertolongan dan bantuan ) Allah adalah beserta orang -orang yang berusaha membaiki amalannya ."

Akhir Surah Al Ankabut menerangkan kepada kita bahawa jihad
( perjuangan suci ) yang sewajibnya dijalankan selagi nyawa di kandung badan. Orang beriman yang berjihad menegakkan islam akan bertambah iman dan akan mendapat hidayah dan taufik ke jalan Allah yang membawa kepada keselamatan dan kebahgiaan di dunia dan di akhirat.Berjhad untuk menegakkan Islam adalah termasuk orang -orang melakukan ihsan dan di kasihi Allah dengan syarat niat yang ikhlas .

1.3. Balasan kepada muhsinin .

1.3.1.Mendapat pahala
Firman Allah Taala di dalam Surah Ali Imran ayat 148 yang bermaksud:
" Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia
( kemenangan dan nama harum ) , dan pahala akhirat yang sebaik -baiknya( nikmat syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah ) , Allah sentiasa mengasihi orang -orang yang berbuat kebaikan .
Ayat ini menjelaskan orang islam akan mendapat pahala di dunia ( kemenangan ) kerana memenuhi syarat - syarat berikut :
* Tidak mengeluh ditimpa percubaan
* Tidak lemah dan patah semangat
* Tidak mundur walau setapak pun
* Sabar menanti kejayaan
* Sentiasa muhasabah diri sendiri
* Sentiasa berdoa kepada Allah.
Pahala - pahala di dunia yang mereka dapat itu di antaranya mendapat kebahgiaan , mendapat sinar ilahi , menyusun kehidupan dengan sempurna . Dengan mendapat pahala -pahala di dunia , maka ia akan memperolehi ganjaran pahala di akhirat yang lebih baik dari dunia dengan mendapat
balasan syurga dari Allah . Allah amat suka kepada orang-orang sentiasa menambah mutu iman dan amalan mereka .
1.3.2.Masuk syurga .
(a) Firman Allah Taala di dalam surah Al Maa'idah ayat 85 bermaksud:
"Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan ( pengakuan iman yang ikhlas ) yang telah mereka ucapakan ( iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai , mereka pula tetap kekal di dalamnya .Dan yang demikian itu, adalah balasan orang -orang berusaha berbuat kebaikan ."

(b)Firman Allah Taala di dalam surah Taubah ayat 100 yang bermaksud: :

" Dan orang - orang terdahulu - yang mula - mula ( berhijrah dan memberi bantuan ) dari orang " Muhajirin" dan "Ansar " dan orang - orang yang menurut ( jejak langkah ) mereka dengan kebaikan ( iman dan taat),Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia(Allah) ,serta ia menyediakan untuk mereka Syurga - Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai , mereka kekal di dalamnya selama - lamanya, itulah kemenangan yang besar ."


(c)Firman Allah Taala di dalam surah Yunus ayat 26 yang bermaksud:

"Untuk orang - orang berusaha untuk menjadikan amalannya baik di kurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia , dan air muka mereka pula ( berseri -seri ) tidak dilaputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan . Mereka itu lah ahli Syurga ,meraka kekal di dalamnya selama-lamanya ."


Mereka yang melakukan kebaikan ( muhsinin) akan mendapat balasan Syurga yang penoh dengan nikmat sebagaimana telah diterangakan di dalam ayat 85 surah Al Maa'idah , ayat 100 surah Taubah, ayat 26surah Yunus .

1.3.3.Balasan baik di dunia dan di akhirat .
(a)Firman Allah Taala di dalam surah An Nahl ayat 30 yang bermaksud:

"Dan ditanya pula kepada orang -orang yang bertaqwa ."Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab :"kebaikan".Orang -orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi,dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik -baik negeri bagi orang - orang bertaqwa ."

(b)Firman Allah Taala di dalam surah An Najmi ayat 31 yang bermaksud:

"Dan Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada dibumi
( dicipta semuanya itu ) untuk membalas orang -orang yang berbuat jahat menurut apa yang mereka lakukan , dan membalas orang yang berbuat baik dengan balasan yang sebaik -baiknya."

(c)Firman Allah Taala di dalam surah Ar Rahmaan ayat 60 yang bermaksud:

"Bukankah tidak ada balasan amat baik - melainkan balasan yang baik juga ?".

Kerja amal baik di dunia ini akan memperolehi balasan yang baik juga di dunia ini , dan di akhirat kelak akan mendapat balasan yang lebih baik dari di dunia ini , oleh itu berbuat baik di dunia ini kerana segala amalan yang kita lakukan di dunia ini akan dihisab olej Allah di Padang Mahsyar . Harta benda ,anak penak ,kaum keluarga tidak akan dapat membantu kita,janji Allah telah terang kepada kita bahawa buat baik dibalas dengan baik dan buatjahat akan dibalas dengan jahat jua,sebagaiaman di dalam Ayat 30 Surah An Nahl, ayat 31 surah An Najmi dan ayat 60 surah Ar Rahmaan .
1.3.4.Faedah diri sendiri .
Firman Allah Taala di dalam surah ِ Al Israa' ayat 7 yang bermaksud:

" Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah ) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan , maka (kesannya yang buruk ) berbalik kepada diri kamu juga . Oleh itu , apabila sampai masa janji (membalas perbautan derhaka kamu ) kali kedua ( kami datangkan musuh -musuh kamu ) untuk memuramkan muka kamu ( dengan penghinaan dan keganasan ) , dan untuk memasuki masjid ( Baitul Muqadis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama , dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai dengan sehancur -hancurnya."

Ayat ini memberi peringatan kepada Kaum Yahudi (Bani Israil) supaya berbuat baik kerana balasannya adalah untuk diri mereka sendiri,tetapi ingatlah kalau mereka melakukan kejahatan maka balasan Allah akan menimpa mereka sebagaimana telah diterima oleh nenek moyang mereka di Palestan, yang mana mereka telah menerima dua kali serangan dari musuh di atas kezaliman yang mereka lakukan,di dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa serangan kedua akan berlaku untuk membalas perbuatan zalim dan ganas yang mereka lakukan sebagaimana telah berlaku pada kali pertamanya yang mana kaum Yahudi pada masa itu telah diserang oleh Raja Babylon dan tentera-tenteranya yang ganas ,lalu membunuh mereka ,membinasakan rumah ibadat mereka, membakar kitab Taurat dan menawan 70,000 orang lalu dibawa ke Babylon.
Kenyataan itu memang benar bahawa mereka diserang buat kali keduanya kerana kezaliman merka lakukan , oleh Raja Rom yang memerintah Palestin waktu itu.
Al Quran telah mendedahkan banyak tempat di atas kezaliman kaum yahudi (Bani Israil),sepatutnya mereka berasa insaf dan beriman dengan Agama yang di bawa Nabi Muhammad SAW.sebaliknya mereka adalah menjadi penentang yang kuat bersama dengan musyrikin Mekah. Di dalam surah Al baqarah Ayat 40yang bermksud:
"Wahai Bani Israil ! kenangkan kamu akan segala nikmat yang telah kuberikan kepada kamu , dan sempurnakan perjanjian (kamu ) denganku,supaya aku sempurnakan perjanjianku dengan kamu, dan kepada Akulah sahaja kamu merasa gerun takut ( bukan kepada sesuatu yang lain )

Allah telah memberikan berbagai nikmat kepada kaum bani Israil , tetapi mereka tidak bersyukur kepada nikmat yang mereka terima,malah mereka melakukan kerosakkan dibumi Allah ini .Di Palestin mereka dihancurkan dengan dua kali serangan sehingga mereka dilaknati Allah dan dibenci oleh Kaum lain.Akhirnya mereka menjadi pelarian dan tidak ada negeri dan ada di antaranya berpindah ke Madinah,Di Madinah Allah menurunkan ayat di atas supaya mereka sedar dan insaf di atas perbuatan nenek moyang mereka yang telah didedahkan ,tetapi mereka tidak menerima perintah Allah malah mereka kufur dan menjadi penentang Agama islam yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW.

1.3.5 .Menerima berita gembira .

(a)Firman Allah Taala di dalam surah Al Hajj ayat 37yang bermaksud:

" Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali -kali akan sampai kepada Allah,tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.Demikianlah ia memudahkan binatang -binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat pertunjukNya .Dan sampaikan berita gembira ( dengan balasan yang sebaik -baiknya) kepada orang -orang yang berusaha supaya baik amalnya."

Takwa dan ikhlas adalah dua regu yang sentiasa diajukan kepada manusia yang beriman untuk memilikinya .Setiap amalan akan merima pahala penuh adalah bergantung kepada taqwa dan ikhlas..Amalan seseorang akan ditolak jika tidak disertai dengan taqwa dan ikhlas sebagaimana yang dijelaskan di dalam ayat di atas .Allah juga menegaskan bahawa selama-lamanya tidak akan menerima amalan yang tidak dilakukan dengan rasa taqwa dan ikhlas.Semua pemberian yang diberikan oleh seseorang samada kecil atau besar akan diterima oleh Allah kalaulah dilakukan dengan taqwa dan ikhas .Perlu juga diingatkan nikmat dan anugerah oleh Allah akan diberikan kepada mereka yang sentiasa membesarkanNya setiap ketika.Di akhir ayat Allah menyampaikan berita gembira kepada mereka yang berbuat baik itu dengan mendapat anugerah syurga di akhirat nanti .Kenikamatan Syurga yang Allah bentangkan kepada manusia di akhirat tidak datang bergolek tanpa usaha.Usaha tanpa taqwa dan ikhlas akan menggagalkan impian menikmati segalanya .Oleh hal yang demikian berusahalah dalam melakukan semua amalan dengan menyematkan sifat taqwa dan ikhlas.

(b)Firman Allah Taala di dalam Surah Al Ahqab ayat 12 yang bermksud:

" (Bagaimana mereka tergamak mengatakan Al Quran ini rekaan dusta yang telah lama ?) Pada hal telah ada sebelumnya Kitab nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya); dan Al Quran pula sebuah kitab yang mengisahkan kebenaran (kitab -kitab yang lalu ),- diturunkan dalam Bahasa Arab untuk memberi amaran kepada orang -orang zalim , dan berita gembira bagi orang -orang yang berbuat kebaikan ."

Sebelum turunnya Al Quran , kitab Taurat telah diturunkan kepada nabi Musa yang mengadungi ikutan dan rahmat dan ia menjadi pegangan kepada pengikut Nabi Musa, tetapai malangnya mereka tergamak mengatakan Al Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah rekaan dusta yang lama,sedangkan kita Al Quran adalah membenarkan kitab -kitab lain yang turun sebelumnya,apabila ia mendustakan kitab Al Quran ,maka ia mendustakan semua kitab -kitab terdahulu termasuk kitab Taurat.Sedangkan tidak ada perselisihan di antara keduanya,kerana kedua-duanya datang dari Allah yang turun kepada kedua RasulNya. ( Musa dan Muhammad).Di dalam kitab Al Quran yang berbahasa Arab itu mengandungi Berita Ancaman ( Nazir) dan Berita gembira (Basyir ).Kalimah nazir dan basyir adalah dua kalimah yang akan membuahkan tarhib (rasa takut )dan targhib ( rasa gemar dan berharap ). Adanya nazir di dalam Al quran akan menajdikan orang Islam rasa takut melakukan kezaliman,kemungkaran dan kemaksiatan kerana adanya ancaman yang telah Allah sediakan seperti azab yang pedih,neraka jahanam,seburuk-buruk tempat tinggal dan sebagainya.Berita gembira yang Allah sampaikan melalui nabi Muhammad melalui Al Quran menambahkan orang Islam bebuat kebiakan,sentiasa muhasabah diri mereka gemar dan suka melakukannya walaupun dalam situasi yang tidak menyenangkan,kerana meraka percaya akan janji Allah di dalam berita gembira itu,yang mana mereka akan di masukkan ke dalam syurga yang penoh nikmat di akhirat, dan rasa tenang dan bahgia di masa hidup di dunia , dan sebagainya ..

1.3.6.Mendapat apa yang diingini .
Firman Allah Taala di dalam Surah Az Zumar ayat 34 yang bermksud:

" Disediakan untuk mereka apa yang mereka kehendaki, di sisi Tuhan mereka , demikianlah balasan orang -orang yang berusaha memperbaiki amal perbuatannya ."


Orang -orang yang sentiasa berbuat ihsan adalah orang yang mempunyai sifat taqwa dan ikhlas ,hati mereka hampir dengan Allah ,maka segala doa dan permohonan mereka diqabulkan oleh Allah,sikapnya diredhai Allah kerana tingkah laku dan amalan baik mereka adalah berpandu kepada syariat Allah yang dibawa oleh Junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Saturday, October 9, 2010

Kuliah 1: Amalan – amalan baik menurut al – Quran

Alhamdulillah Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat menyiapkan siri kuliah di dalam blog ini dengan tajuk :

AMALAN – AMALAN BAIK MENURUT AL-QURAN “ untuk bacaan umum bagi memahami isi Al-Quran .

Hari ini banyak kemungkaran berlaku kemungkinan kerana tidak memahami isi Al-Quran yang menyentuh bahaya amalan –amalan kemungkaran yang perlu ditinggalkan , dan juga perintah –perintah mengerjakan amalan –amalan baik yang perlu dikerjakan . Menyedari hal ini maka saya paparkan beberapa amalan –amalan baik yang terkandung di dalam Al-Quran secara ringkas untuk menjadi ingatan dan beramal dengannya .

Saya berharap siri kuliah ini jadikan panduan untuk beramal dengan amalan yang baik yang ditunjukkan oleh Al Quran semoga kita dapat kebaikan dunia dan Akhirat.

Kesalahan dan kesilapan yang terdapat di dalam kuliah ini saya memohon kemaafan kepada pembaca sekalian dan sedia menerima teguran .

Sekian Terima Kasih
Wassalam


AMALAN-AMALAN BAIK MENURUT AL QURAN

Amalan yang baik :Adalah kerja - kerja kebajikan yang memberi faedah kepada diri sendiri,keluarga,bangsa dan negara dan semua perbuatan yang baik untuk keselamatan hidup masyarakat di dunia seperti ihsan, taqwa,tolong menolong dan sebagainya.

Di dalam Al Quran banyak menyebut tentang amalan - amalan baik yang mana dirangkaikan dengan iman seperti Firman Allah Taala Surah Al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud :
"Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan yang berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga - syurga yang megalir sungai - sungai di dalamnya .Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka berkata " Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu: Mereka diberi buah - buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri -isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.


JENIS - JENIS AMALAN BAIK DI DALAM ALQURAN

1.Ihsan
2.Istiqamah di dalam beramal
3.Taat kepada Allah ,Rasul .
4.Kasih sayang .
5.Kata di kotakan
6.Bertolong bantu
7.Taqwa
8.Tawadhuk ( merendah diri )
9.Serdahana di dalam beramal
10.Tawakkal
11.Akhlak yang baik.
12.Seruan mengerjakan amal yang baik
13.Amalan yang membawa kepada kebajikan
14.Amalan yang boleh membawa kepada kejayaan
15.Perkataan - perkataan yang baik
16.Bersegera mengerjakan amalan yang baik .

Friday, October 8, 2010

JUDI

Takrif judi
Ulamak memberi takrif judi dengan takrif yang berbeza twentang judi :
(i) Zamakhsyari dalam al-Kasysyaf menyatakan , judi dalam Bahasa Arab sebagai maisir atau qimar , kerana ia usaha yang mudah tanpa memerlukan penat lelah sdan beban , ia diambil dari kalimah yusr.Manakala maksud kedua daripada kalimah yasar iaitu kaya atau senang kerana boleh m embaw a k ekayaan
(ii)Al-Azhari bwerkata , maisir ialah cara mereka berjudi dan dinamakan begitu kerana setiap seseorang membahagikan juzuknya . Dalam kamus dewan edisi 4 , judi bermaksud permainan dengan memakai wang dan lain – lain sebagai taruhan
(iii)Al-Zahbi dalam al-Kaba’ir menyebut , perjudian ialah apa sahaja yang boleh dibuat berjudi sama ada dadu , catur permainan cin cin , ju di dengan bola empat segi , buah kenari , telur , kerikil atau apa sahaja yang seumpamanya .
Dalil pengharaman judi :
1.Al-Quran
(i)Firman Allah SWT dalam surah al-baqarah ayat 219 :
mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah Yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah - apa-apa) Yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
(ii) Firman Allah SWT dalam surah al-Maidaah ayat 90-91 :
90. Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
91. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu Dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara Yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
2.Sunah
Nabi SAW bersabda : “Barang siapa yang berkata kepada temannya , mari kita bermain judi maka hendaklah ia bersedekah “ riwayat al-Bukhari dan Muslim.
3.Ijma’
Syikh Said Abu Jaib menyebut dalam bukunya Mausu’ah al-ijma’ fi al-fiqh al-islam 23/958 ,para ulamak telah ijmak bahawa judi haram sama ada dengan dadu , catur atau dengan apa – apa pun .Ia termasuk makan harta dengan cara kebatilan .
4.Kaedah Faqhiyyah
Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqh al-Muwazanah (rujuk Siasah Syari’yyah ,Dr.Yusuf al-Qardhawi , hal 300 – 301 ,Maktabah Wahbah ,Kaherah ) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut , kaedah yang sama dalam bahasa Arab yang bermaksud “Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus .”
JUDI ITU MUDARAT .
Al-Sobuni dalam Rawa’I’ al-Bayan menyebut , antara mudarat judi sama dengan mudarat arak yang mana boleh membawa kepada pembunuhan diri sendiri atau orang lain , dan kehidupan yang hina dan keji.
Pelbagai permasalahan hukum .
Terdapat bebarapa fatwa dan pelbagai permasalahan hukum berkaitan isu judi :
(i)Hukum peraduan SMS dan menyertainya menurut pandangan Islam .
Kuputusan muzakarah kali ke -64 ,Jawatan kuasa Fatwa menyebut : Peraduan kuiz melalui SMS dan seumpamanya mengandungi eksploitasi kesamaran (tidak jelas)pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi .Dari itu hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak .”
(ii) Dr.Yusuf al-Qardhawi menyebut dalam kitab “a;-Halal wa al-Haram” Setiap permainan yang bertujuan untuk berjudi maka hukumnya haram .Judi ialah permainan yang dilakukan oleh manusia , tiak lari dari untung atau rugi .Ia juga dinamakan maisir yang disebut oleh al-Quran beriringan dengan arak ,anshaab (yang disembelih untuk berhala)da azlam (yang diundi dengan batang kayu untuk menentukan nasib).
Dalam hubungan ini , pemerintah berperanan menegah keburukan , bukannya menaja atau bersaing dengan penjenayah .Dikhuatiri pemberian lessen judi mewujudkan tempat hisap candu berlesen untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen . Justeru , kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti .
Pa\ndangan Syaikh Al-Maghari bahaya judi .
(i)Menimbulkan permusuhan dan kebencian sesame permain.
(ii)Memalingkan orang daripada mengingati Allah SWT dan solat .
(iii)Merosakkan moral manusia iaitu membuat manusia malas dan menanti- nanti rezeki melalui khayalan sekali gus menjadikannya tidak suka bekerja mengeluarkan keringat seperti bertani , bertukang dan berdagang .
(iv)Runtuhnya rumah tangga secara tiba- tiba dan lenyapnya harta seseorang pemilik secara mendadak .
Implikasi dan akibat judi:
1.Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius .
2.Kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya yang sering diserbu selain diharamkan oleh kerajaan.
3.Membawa masalah dan krisis rumah tangga .Pergaduhan suami isteri , anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi , suami curi duit isteri dan sebagainya.
4.Kanak – kanak akan turut serta dalam perjudian , khususnya secara dalam talian, dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lessen diberi oleh kerajaan manakala perbutan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan .
5.Masyarakat tidak progesif kerana meneka dan bertaruh serta menonton bola sepak secara berlebihan .Kalau dulu penonton hanya gembira untuk melihat pasukan yang disokong , kini , bakal menjadi taasub dan tertekan kerana keputusan perlawanan membabitkan wang pertaruhan .
6.Mendorong rakyat focus pada perolehan keuntungan secara cepat tanpa teknik , namun akhirnya dirinya ditimpa kerugian .
7.Kesan buruk kekalahan menyebabkan kemarahan , memandu berbahaya di jalan raya , pegeseran rumah tangga , kesan psikologi di tempat kerja kerja . dikejar lintah darat dan banyak lagi .
8.Pemberian lessen judi seolah – olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak terdorong untuk berjudi kerana aktiviti gelap dan salah di sisi undang – undang .Namun dengan pemberian lessen , mereka melakukan kerana ia dianggap halal .

Wednesday, October 6, 2010

HUKUM MENGGUGURKAN KANDUNGAN

.
Haram hukumnya bagi seorang ibu yang hamil menggugurkan janinnya tanpa sebab yang darurat.Maksud darurat yang sesuatu yang melibatkan keselamatan jiwa dan anggota , hidup atau mati.Adapun masalah kewangan ia bukanlah suasana darurat yang membolehkan pengguguran janin .Allah berfirman di dalam Surah Al-Israk ayat 31 yang bermaksud “dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” Perbuatan membunuh anak boleh jadi selepas atau sebelum kelahalirannya.Sebahagian ulamak mengatakan janin yang telah berumur 120 hari . Ada yang mengatakan sebelum tempuh 120 hari juga adalah haram kerana menceroboh proses kejadian yang diaturkan oleh Allah SWT seperti firmanNya di dalam surah Insan ayat 2 , yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), walaupun begitu perbuatan perancangan keluarga tidak termasuk dalam kategori menggugurkan janin .kerana air mai lelaki belum bercampur ,

Tuesday, October 5, 2010

5 CARA ATASI BUASIR

1.CUBA ELAK DARIPADA MENERAN KETIKA MEMBUANG AIR BESAR.RENGANGKAN OTOT LANTAI PELVIK DAN TARIK NAFAS DALAM.
2.ELAKKAN DIRI DARIPADA BERDIRI TERLALU LAMA .SEMASA BERBARING DIGALAKKAN UNTUK MENGIRING BERBANDING MENELENTANG. 3.KERAPLAH BERENANG ATAU LAKUKAN SENAMAN RINGAN YANG DAPAT MEMPERBAIKI PEREDARAN DARAH ANDA
4.MINUM BANYAK AIR DAN AMBIL MAKANAN KAYA SERAT UNTUK MENGELAKKAN SEMBELIT YANG BOLEH MENCETUSKAN BUASIR.
5.JIKA BERLAKU BUASIR , BERITAHU DOKTOR .BELIAU AKAN MEMBERI ANDA KERIM YANG DAPAT MEREDAKAN BENGKAK DAN MENGURANGKAN KESAKITAN .

Monday, October 4, 2010

MAJLIS ULAMA INDONESIA BANTAH HARAM PURDAH

MAJLIS ULAMA INDONESIA (MUI) MEMBANTAH KEPUTUSAN PARLIMEN PERANCIS YANG MELULUSKAN AKTA UNTUK MENGHARAMKAN PEMAKAIAN PAKAIAN MENUTUP MUKA ,TERMASUK PURDAH YANG MENJADI PAKAIAN MENUTUP AURAT WANITA ISLAM .PENGARAH MUI AMIDHAN BERKATA “WANITA ISLAM DI TIMUR TENGAH MEMAKAI PURDAH SEBAGAI SEBAHAGAIAN DARIPADA TUNTUTAN AGAMA DAN KEPERCAYAAN BUDAYA MEREKA DAN PARLIMEN PERANCIS SEHARUSNYA TIDAK MENYEKAT HAK MEREKA MEMAKAI PURDAH DI TEMPAT AWAM .”JIKA ALASAN UNTUK MENJAGA KESELAMATAN ADALAH SEBAB UTAMA AKTA ITU DILULUSKAN , PERSOALANNYA,SEJAUH MANAKAH WANITA BERPURDAH MEMBERI ANCAMAN KEPADA KESELAMATAN NEGARA ITU “.BIDASNYA .MENURUTNYA MUI TIDAK SETUJU DENGAN AKTA ITU WALAUPUN PARLIMEN PERNCIS BERJAYA MENDAPAT 246 UNDIAN DARIPADA AHLI DEWAN RAKYAT NEGARA ITU DAN UNDANG – UNDANG BARU TERSEBUT AKAN BERKUAT KUASA PADA AWAL TAHUN HADAPAN SELEPAS MENDAPAT PENGESAHAN MAJLIS PERLEMBAGAAN .(Dari Sinar khamis 16 sept 2010 ).