SELAMAT DATANG KE BLOG URUSAN ULAMAK PAS KAWASAN TEMERLOH

BLOG YANG MENGHIDANGKAN ARTIKAL AGAMA,ISU - ISU SEMASA DAN KEGIATAN URUSAN ULAMAK

Sunday, June 17, 2012

Hadis Kelapan TANGGUNG JAWAB SESEORANG


isteri mesti taat kepada suaminya.

ibu bertanggungjawab meendidik anaknya.

menteri besar bertanggungjawab terhadap rakyatnya

Guru bertanggungjawab terhadap pelajarnya.

pemimpin bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.
عَنْ ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ :أَلاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَ كُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ . فَالْاَمِيْرُ الَّذِيْ عَلَي النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُمْ , وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى اَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُمْ , وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُوْلَةٌ عَنْهُمْ , وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَي مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُوْلٌ عَنْهُ . أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَ كُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ . (متفق عليه ).
Terjemahan Hadis
”Dari Ibni Umar r.a sabda Rasulullah SAW :”Semua kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap rakyat pimpinannya .Seorang amir (raja) memimpin rakyat dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya , seorang lelaki adalah pemimpin ke atas keluarga rumahnya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya .Seorang wanita adalah pemimpin dirumah suaminya dan terhadap anak – anak suaminya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya .Seorang hamba sahaya adalah pemimpin atas harta benda tuannya dan ia akan ditanya mengenai pimpinannya .Ingatlah Semua kamu adalah pemimpin dan semua kamu akan ditanya mengenai pimpinannya (Diriwayatkan oleh :Al-Bukhari dan Muslim).
Keterangan mengenai perawai Hadis.
Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Omar iaitu Abu Abdul Rahman Abdullah Ibnu Omar Ibnu Khattab , memeluk Islam di Mekah bersama ayahnya semasa masih kecil dan berhijrah ke Madinah bersama ayahnya secara terang. Turut terlibat di dalam peperangan Khandak dan peperangan-perperangan yang lain.
Banyak Ahli hadis meriwayatkan hadis Rasulullah SAW dari beliau , iaitu sebanyak 1 630 hadis , beliau adalah termasuk salah seorang sahabat yang sangat kuat mengikut sunnah Rasulullah SAW. seorang dermawan , sehingga mendermakan sebanyak 30 000 dirham dalam satu masa .
Nilai Hadis.
Hadis ini termasuk salah satu hadis yang tinggi nilainya , yang menerangkan bahawsa setiap individu mempunyai tanggungjawab , dan mesti menunaikan tanggungjawab tersebut dengan baik , kerana Allah SWT akan menanyakan setiap tanggungjawab yang dipikul pada hari kiamat kelak .Terutama pemerintah (Imam) sangat penting menunaikan tanggungjawab dengan sempurna.
Keterangan Hadis secara terperinci .
1.Tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat .
Pemerintah bertanggungjawab terhadap rakyat seperti berikut :
a.Memerlihara agama
Memerlihara agama atas dasar - dasarnya yang telah diperakui serta kaedah-kaedahnya yang telah disusun bersumberkan al-Quran dan al –sunah serta apa yang telah disepakati oleh para ulama terdahulu . Menjelaskan hujah –hujah agama , mengembangkan ilmu –ilmu agama dan mengagungkan ilmu serta para ahlinya. Mereka juga mesti mengangkat tonggak dan kedudukan ilmu serta bergaul dengan para ulama yang pakar dan penasihat kepada urusan agama Islam .Pemerintah mesti meminta pandangan mereka sebagai sumber hukum –hakam serta rujukan bagi pembatalan atau penetapan sesuatu hukum.
Pemerintah mestilah menegakkan syiar –syiar Islam seperti solat fardu , solat berjamaah , azan da lain –lain .
b.Memelihara dan mempertahankan kemurnian Islam .
Memelihara dan mempertahankan kemurnian Islam sama ada di seluruh rantau sekiranya dia seorang khalifah atau kawasan yang telah ditentukan jika dia seorang penguasa yang dilantik untuknya .Maka dia hendaklah berjihad
menentang musyrikin dan memerangi tentera musuh serta pemberontak di samping mentadbir angkatan tentera dan mengurus pentadbiran para askar . Dia juga bertanggungjawab mempertahankan ruang yang boleh ditempuhi musuh dengan persiapan pencegahan dan pertahanan melalui penyusunan anggota tentera untuk perjuangan dibuat mengikut keperluan .Ia termasuk menetapkan pemberian dan saraan serta menjaga hal ehwal kebajikan mereka.
c.Keadilan .
Keadilan merupakan faktor yang paling utama dan menjadi asas yang perlu ditegakkan oleh pemerintah untuk menjamin kemerdekaan dan asas bagi masyarakat . Apabila keadilan dapat ditegakkan dalam semua aspek,maka akan terjaminlah pula keamanan dan ketenteraman .Selanjutnya akan timbullah rasa persaudaraan yang kuat sesama rakyat.
Keadilan bagi seorang pemerintah adalah melaksanakan kewajipannya, menunaikan hak-hak rakyat ,tidak melakukan kezaliman ,tidak membezakan antara yang kaya dengan yang miskin .
Keadilan menurut Yusof al-Qardhawi ialah sebahagian dari nilai-niali kemanusian dalam Islam dan dijadikan sistem kehidupan individu , keluarga dan kehidupan Negara .Sehingga al-Quran menjadikan penegak keadilan di antara manusia adalah sebagai tujuan dari semua utusan Ilahi.Firman Allah SWT yang bermaksud :
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.(A-Hadid :25)
d.Melaksanakan Hudud Syar’iyyah .
Melaksanakan Hudud Syar’iyyah berdasarkan syarat yang telah ditetapkan untuk menjaga agar tegahan Allah itu tidak dipersendakan dan hak-hak manusia tidak dilanggar serta menyamakan kedudukan semua golongan
e.Memisahkan kehakiman dan pemerintahan
Memisahkan kehakiman dan pemerintahan melalui perlantikan pentadbir dan hakim .
f.Memungut zakat dan jizyah .
Memungut zakat dan jizyah daripada mereka yang berhak .Hasil kutipan itu hendaklah dibelanjakan mengikut perbelanjaan yang telah ditetapkan oleh syarak untuk pihak – pihak yang diakui layak .
g.Memilih mereka yang berkelayakan ,
Memilih mereka yang berkelayakan sebagai pemegang tanggungjawab , serta melantik orang berakhlak baik untuk melaksanakan tugas yang diserahkan dengan baik .
h.kehidupan yang baik .
Merealisasikan kehidupan yang baik untuk setiap individu rakyat .Sentiasa berusaha untuk melahirkan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan manusia .
2.Tanggungjawab bapa/suami terhadap rumahtangga.
Di antara kewajipan dan tanggungjawab yang penting bagi seorang suami ialah :
(1) Tanggungjawab memberi nafkah zahir dan batin .
Seorang suami wajib memberi nafkah kepada isterinya , firman Allah SWT yang bermaksud:Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadaNya. (orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.(at –Talak : 7)
Dan juga memberi nafkah batin iaitu melakukan persetubuhan dengan isterinya ,Firman Allah SWT yang bermaksud :
5. dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
6. kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
7. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas(Al –Mukminuun : 5- 7)
2.Tanggungjawab dari segi kebendaan .
Dalam hal kewajipan dari segi kebendaan ini mengandungi :
(a) Pakaian
(b) Tempat tinggal
(c) Perabut dan alat kebersihan
(d) Orang gaji .
3.Tanggungjawab dari segi akhlak dan kerohanian .
Antara kewajipan yang penting diberi dari segi akhlak dan kerohanian ialah :
(a)Mengajar isteri supaya taatkan suami .
(b)Mengajar isteri supaya menjadi seorang yang amanah .
(c)Pergaulan secara makruf .
(d)Mendapat bimbingan agama dari suami.
(e) Pengawalan terhadap kehormatan isteri .
(f) Mengajar isteri berakhlak Islam .
3.Tanggungjawab ibu/isteri .terhadap rumahtangga.
Seorang isteri mempunyai kewajipan terhadap rumahtangganya ,di antara lain ialah :
(a)Taatkan kepada suami
Isteri wajib mentaati suami , kecuali dalam perkara – perkara yang menjadi maksiat kepada Allah SWT
(b)Melayan suami .
Isteri wajib melayan dan menyempurnakan kehendak suaminya,seperti persetubuhan, firman Allah SWT yang bermaksud:
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.(Al-Baqarah : 223)
(c)Tinggal di rumah suami

(d)Memelihara kehormatan diri .
Suami isteri mempunyai tanggungjawab bersama :
(a)Tanggungjawab terhadap harta
(b)Tanggungjawab terhadap anak –anak .
(c) Tanggungjawab memberi pendidikan kepada anak –anak .
(d) Tanggungjawab terhadap urusan rumahtangga
4.Tanggungjawab hamba terhadap tuan .
(a) Menguruskan harta tuannya dengan baik
(b) Tidak membelanjakan sesuka hati
Pengajaran Hadis .
1.Tiap-tiap individu muslim adalah pemimpin , bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pimpinannya .
2.Tunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan baik , jika tidak mahu disoal Allah di Hari Akhirat .
3.Pemimpin – pemimpin di dalam rumahtangga , kampong , daerah , negeri dan Negara , semaunya bertanggungjawab di atas pimpinan mereka , maka tunaikan tanggungjawab dengan jujur dan tunaikan amanah itu dengan sebaik-baiknya .
4.Empat golongan yang disebut di dalam hadis ini iaitu pemerintah ,suami , isteri dan hamba , kesemuanya bertanggunjawab di atas pimpinan mereka . Oleh hal demikian mereka dikehendaki memenuhkan tanggungjawab mereka dengan ikhlas dan rasa tanggungjawab .

No comments:

Post a Comment