SELAMAT DATANG KE BLOG URUSAN ULAMAK PAS KAWASAN TEMERLOH

BLOG YANG MENGHIDANGKAN ARTIKAL AGAMA,ISU - ISU SEMASA DAN KEGIATAN URUSAN ULAMAK

Tuesday, April 20, 2010

BANYAKKAN SELAWAT KEPADA NABI SAW .

12 Rabiul Awal adalah merupakan satu tarikh keramat kepada seluruh Umat Islam kerana pada tarikh ini lahirnya junjngan Besar Nabi kita Muhammad SAW yang membawa rahmat kepada seluruh alam . Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107yang bermaksud :
Dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Oleh yang demikian kita selaku Umat junjngan Besar Nabi kita Muhammad SAW hendaklah mengasihi dan mencintai baginda ,kerana baginda menjadi uswah dan qudwah kepada kita dari segenap segi , bukan sahaja dengan perkataan tetapi mencontohinya segala sunnah dan jejak langkah .Firman Allah SWT di dalam surah Al – Ahzab ayat 21 yang bermaksud:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Syikh Mutawali Sya’rawi salah seorang ulamak terkenal di Mesir bekata “Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda SAW dan demikian juga semua tumbuh –tumbuhan semua binatang , para malaikat dan seluruh jin Islam bergembira dengan kelahiran baginda SAW,kenapa menghalang kamu daripada bergembira dengan kelahiran baginda SAW ?”.
Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 31 :
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah Daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat 31 Surah Ali Imran ini menyatakan kepada kita bahawa mencintai Rasulullah SAW itu akan mendekatkan kita kepada Allah SWT , dan dijanjikan akan mendapat keampunan dan keredhaan Allah SWT.Cara mencintainya ialah dengan mengetahui segala aspek penghidupan Raulullah SAW , seperti makjizat , kelahiran , kewafatan , akhlak , keluarganya dan tanda- tanda kenabian dan tugasnya sebagai pesuruh Allah SWT .Selepas itu hendaklah beriman dan mengamalkan segala sunnahNya.
Seseorang itu hendaklah mencintai Rasulullah SAW hendaklah lebih daripada dirinya sendiri,anak, isteri harta dan menusia seluruhnya , sabda Rasulullah SAW :

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ .
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia menjadikan Aku lebih dikasihi daripada dirinya , ibu bapanya , anak , harta dan manusia seluruhnya .”

Marilahkita sentiasa menzahirkan rasa kecintaan kepada baginda Rasulullah SAW dengan perkara – perkara berikut :
1.Mengamalkan seluruh sunnahNya dengan penuh keikhlasan ,dan kepada rasul sahaja yang layak untuk kita mencari keridhaan Allah SWT , Firman Allah SWT yang bermaksud :
Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman. ( At – Taubah : 62) .

2.Membanyakkan selawat terhadap baginda Rasulullah SAW , firman Allah SWTyang bermaksud :
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. ( Surah Al –Ahzab : 56)
Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
“Barangsiapa yang berselawat ke atasKu sekali, nescaya Allah akan membalasnya dengan selawat sepuluh kali “.
Sabdanya lagi yang bermaksud :”Orang yang utama yang mendapat syafaatKu di hari kiamat ,ialah orang yang banyak berselawat ke atasKu.”

3.Menghormati hadis – hadis baginda .Oleh itu setiap muslim tidak boleh mendusta atau anti terhadap hadis – hadis baginda .Menolak hadis –hadis sahih lagi mutawattir adalah kufur hukumnya .Menolak hadis – hadis baginda sama dengan menyakiti baginda .Menyakiti Nabi SAW adalah haram dan berdosa serta menyebabkan seseorang terkeluar dari Agama Islam .Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Ahzab ayat 53 yang bermaksud :

dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah
Dan Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah ayat yang bermaksud 61:
“dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Termasuk juga menyakiti Rasulullah SAW ialah dengan membenci sunnah Rasullullah , adapun mengikut sunnah pada asalnya sunat sahaja , tetapi kalau menghina dan menolaknya adalah haram hukumnya , Nikah itu sunat sahaja , tetapi menolak dan menghina nikah maka ia boleh merosakkan akidah .
Marilah kita mencintai Rasulullah SAW dengan melakukan beberapa perkara yang telah disarankan di atas , mudah – mudahan kita akan mendapat syafaat darinya .Kerana syafaat Rasulullah SAW adalah merupakan syafaat yang agong yang diberikan kepadaNya tidal kepada Nabi lain .
Hormatilah Rasulullah dan banyakkan selawat kepadaNya dan amalkan seluruh sunnahNya , dan apa yang diperintahkan kepada kita hendaklah dikerjakan dan apa yang ditegahNya hendaklah ditinggalkan , Firman Allah SWT yang bermaksud:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).(Surah Al-Hasyr ayat 7 )

No comments:

Post a Comment