SELAMAT DATANG KE BLOG URUSAN ULAMAK PAS KAWASAN TEMERLOH

BLOG YANG MENGHIDANGKAN ARTIKAL AGAMA,ISU - ISU SEMASA DAN KEGIATAN URUSAN ULAMAK

Wednesday, January 30, 2013

KELAHIRAN RASULULLAH MEMBAWA SINAR KEHIDUPAN



Marilah kita mengambil pengajaran sebaik mungkin daripada peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW kerana pada bulan Rabiul Awwal ini menjadi kebiasaan umat Islam menyambut peristiwa itu.Jika sekadar menyambut peristiwa yang besar itu sahaja,tetapi tidak mengambil pengajaran dan mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW, dan tidak mahu menjadi pengikutnya yang setia,maka tidak ada erti dan makna menyambut peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW
Jika sekadar menyambutnya sahaja,sedangkan ajaran yang dibawa oleh baginda ditinggalkan,maka apa bezanya dengan Abu Lahab yang dilaknat oleh Allah adalah orang yang paling gembira pada hari Rasulullah SAW dilahirkan,tetapi dia menjadi orang paling menentang Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.Adakah sambutan kita terhadap peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sama dengan Abu Lahab ?.
Sambutan orang Islam pada peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sama seperti sambutan Abu Lahab sekiranya sekadar berarak membawa sepanduk dan kain rentang dengan diiringi bacaan selawat dan berzanji.Sedangkan cara hidup harian bercanggah dengan ajaran Islam peninggalan Rasulullah SAW .
Sesungguhnya kelahiran Nabi Muhammad SAW adalah peristiwa yang besar di dalam alam ini, benarlah firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ .
Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu(Wahai Muhammad),melainkan untuk menjadi rahmat bagi sakalian alam.
Oleh kerana kelahiran Rasulullah SAW adalah satu perkara yang sangat besar kepada seluruh alam,menjadi kemuncuk nikmat Allah kepada umat manusia, dan selepas itu dunia akan kiamat, Allah mengisytiharkan maklumat berita akan berlaku kelahiran Rasulullah SAW kepada manusia terdahulu dalam kalangan nabi – nabi dan rasul – rasul AS.
Allah SWT mengisytiharkan akan berlaku kelahiran baginda kepada ulamak Ahli Kitab dan kepada mereka yang jahat dan disesatkan oleh Syaitan dan Iblis daripada kalangan ahli2 nujum dan ahli2 sihir.Kelahiran Rasulullah SAW yang menjadi amaran Allah kepada Alam ini tentang tanda2 hampir Kiamat.Allah menyebut di dalam Al-Quran di dalam banyak tempat di antaranya :

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadaNya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya".
Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu secara yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."
Seterusnya Allah menyatakan tentang kerasulan Muhammad SAW diketahui oleh Ulamak Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani.Mereka mengenali Rasulullah SAW sebelum dan selepas kelahiran baginda kerana tanda – tanda kenabian dan kersulan Rasulullah SAW tercatat dalam kitab – kitab mereka.Allah menyatakan dalam surah Al-Baqarah ayat 146 yang bermaksud:
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).
Benarlah ayat ini mendedahkan bahawa Ulamak Ahli Kitab kenal Rasulullah.Antaranya,kisah yang menarik apabila bapa saudara Rasulullah SAW bernama Abu Talib yang diamanahkan bagi menjaganya selepas datuknya Abdul Mutalib meninggal semasa membawa Rasulullah SAW bersamanya pergi berniaga di Syam.
Semasa perjalanan ke Syam,Abu Talib bertemu dengan seorang yang sedang beribadah di tengah padang pasir yang jauh kerana beruzlah membawa agama dan menyelamatkan diri daripada dunia yang penuh dengan kesesatan dan lerosakan ,
Kebetulan Abu Talib singgah di tempat paderi itu bertapa.Apabila paderi itu melihat awan di langit berjalan melindungi perjalanan rombongan Abu Talib dan berhenti apabila rombongan itu berhenti.
Maka paderi itu bertemu dengan rombongan Abu Talib dan menjemput mereka ke tempat ibadahbya untuk dijamu .Paderi itu meminta supaya semua anggota rombongan dibawa bersama , sama ada tua ,muda , kanak – kanak dan sesiapa yang menyertai rombongan itu.
Tiba –tiba,Abu Talib meninggalkan anak saudaranya Muhammad SAW kerana dianggap masih kanak – kanak.Paderi itu menyedari masih terdapat lagi yang ditinggalkan oleh Abu Talib.Apabila disoal oleh paderi itu,Abu Talib mengaku yang ditinggalkan itu ialah seorang kanak – kanak.
Paderi itu meminta supaya kanak – kanak itu dibawa ke hadapannya,paderi itu menilik jasad Rasulullah SAW dan bertanya beberapa soalan kepadanya.Rasulullah SAW menjawab soalan –soalan itu dengan bijak dan menandakan bahawa kanak – kanak ini seorang yang bijak dan luar biasa
Paderi itu bertanya kepada Abu Talib”Siapakah anak itu?Abu Talib berkata “Anakku”.Paderi itu berkata,”Tidak layak bagi kanak – kanak itu mempunyai ayah dan ibu.” Abu Talib mengaku bahawa kedua – dua ibubapanya sudah meninggal dunia .
Paderi itu berkata kepada Abu Talib,”Jagalah anak saudara kamu ini baik – baik,jangan dilihat dan diketahui oleh orang Yahudi,jika mereka tahu,nanti mereka akan melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya, anak saudara kamu ini mempunyai keistimewaan yang luar biasa,hendaklah dijaga dengan sebaik – baiknya”.
Kisah lain berlaku kepada Waraqah bin Naufal,seorang alim ahli kitab yang masih tinggal di Makkah.Apabila Waraqah ditemui oleh sepupunya,Khadijah binti Khuwailid RA yang menceritakan wahyu pertama yang diterima oleh Rasulullah SAW,
Waraqah berkata,”Wahai Khadijah!Percayalah,demi Waraqah yang berada dalam tanganNya,bahawa yang datang menemui suamimu(Muhammad) itu adalah Malaikat Jibril yang membawa wahyu,percayalah bahawa suamimu adalah seorang rasul.”
Waraqah bertemu dengan Rasulullah SAW ketika tawaf mencium kepala Rasulullah SAW dan memberitahunya,”Kamu wahai Muhammad akan menghadapi cabaran yang besar,kamu akan dimusuhi ,kamu akan dihalau,”.
Apabila Rasulullah SAW bertanya.Waraqah kenapa perkara itu akan terjadi? Waraqah menyatakan,”Itulah sifat dan keadaan yang dihadapi oleh nabi – nabi dan Rasul – rasul AS.”
Berita kelahiran Rasulullah SAW dimaklumkan kepada penganut2 agama Majusi yang menyembah api.Pada malan kelahiran Rasulullah SAW,api yang disembah padam.Berita kelahiran baginda diketahui juga oleh ahli2 nujum dan ta’bir mimpi walaupun mereka pembohong besar,kerana berkawan dengan syaitan.Mereka tidak dapat menyembunyikan berita kelahiran Nabi Mohd SAW.
Raja – raja yang besar juga bermimpi tentang kelahiran yang penting ini.Ahli – ahli ta’bir mimpi menta’birkan mimpi itu sebagai akan tiba kelahian Nabi Muhammad SAW. Di kalangan Ahli Falak yang menganut agama samawi juga ditunjukkan tandanya.Ibn Ishaq meriwayatkan sebagaimana diceritakan oleh Ibnu Hisham bahawa Hassan bin Thabit RA yang sempat melihat kelahiran Rasulullah SAW menceritakan“Ada seorang Yahudi di Madinah yang sentiasa melihat bintang – bintang di langit pada malam kelahiran Rasulullah SAW.Tiba-tiba bersorak dan memberi tahu bahawa ada satu bintang yang muncul menjadi tanda kelahiran Rasulullah SAW dapat dilihat lantas beliau memeluk Islam “.
Ulamak2 dan ahli fikir yang mengkaji kitab pelbagai agama membuat pendedahan berita kelahiran Rasulullah SAW disebut di dalam kitab2 itu . Bukan sahaja kitab Taurat dan Injil, tetapi termasuk kitab Veda yang menjadi kitab suci agama Hindu yang memberi isyarat kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Walaupun paderi – paderi dan pendita – pendita serta sami –sami mengkhianati pengikut – pengikut mereka dengan menyembunyikan perkara sebenar,namun kelahiran Rasulullah SAW tidak dapat disembunyikan.
Sepatutnya sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan setiap tahun apabila tibanya bulan R’ Awwal dapat menambahkan iman dan keyakinan kita kepada Nabi Muhd SAW. Dengan mengamalkan ajaran yang dibawa baginda.Bukan sekadar mengaku beriman tetapi tidak menjadi pengikut yang setia.
Marilah kita membuktikan keimanan dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan menjadi pengikut yang setia.Sesungguhnya kecintaan kepada Rasulullah SAW menjadi iman seseorang .Sabda Rasulullah SAW :
عن أَنَسٍ قَالَ النَّبِيِّ صلي الله عليه وسلم : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ
حَتَّي أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلِيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ
Daripada Anas RA, berkata beliau,bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku ini terlebih kasih kepadanya daripada anaknya,ayahnya dan daripada manusia seluruhnya. (H.R. Bukhari dan Muslim ).
Bersempena kita menyambut maulidur Rasul SAW ini marilah kita membanyakkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang memimpin Islam kepada kita sesudah melalui pelbagai bentuk jihad dan pengorbanan.Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melalui ucapan dan salam sebagai mematuhi perintah Allah dalam Quran dalam surah Al- Ahzab ayat 56
إِنَّ اللهَ وَمَلاَئَكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَي النَّبِيِّ يَااَيُهَاالّّذِيْنَ ءَامَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا
Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya sentiasa berselawat ke atas nabi , maka wahai orang yang beriman ucapkan selawat dan salam ke atasnya dengan sesungguh – sungguhnya .

No comments:

Post a Comment